Sunday, September 23, 2012

[KOM.PENANG] MUTIARA PENANG ~ ISA BAKAR




KUALA LUMPUR - Pemergian bekas penyerang kebangsaan Allahyarham Isa Abu Bakar, 58, semalam disifatkan kehilangan besar dalam arena sukan bola sepak negara kerana sumbangannya yang tidak ternilai dalam mengharumkan nama negara di pentas dunia ketika era 1970-an.


Allahyarham dikatakan setanding dengan legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, malah sering bergandingan dalam beberapa perlawanan penting.

Bagi rakan rapat Allahyarham iaitu legenda bola sepak negara, Santokh Singh berkata, Isa seorang yang sungguh dikagumi dan digeruni ketika beraksi, malah sumbangan Allahyarham kepada dunia bola sepak juga tidak terkira.

''Dia adalah rakan rapat saya, kami sering bersama sewaktu beraksi di beberapa kejohanan besar pada era 1970-an bagi saya kehilangannya membuatkan kami sungguh sedih.

''Kali terakhir saya bertemunya ialah pada dua minggu lepas dan pemergiannya memang tiada pengganti,'' kata Santokh ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Hassan Sani menggangap pemergian Isa Abu Bakar membuatkannya terkejut kerana sebelum ini rakannya itu tidak pernah mengadu mengidap sebarang penyakit.

''Isa Bakar seorang yang cemerlang dan banyak membantu ketika menyertai perlawanan di Korea pada tahun 1978 dan Sukan SEA di Jakarta dia adalah yang terbaik,'' kata Hassan.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, Allahyarham seorang yang pemurah dan tidak pernah lokek dalam membantu rakan-rakan yang berada dalam kesusahan.

''Terlalu banyak kenangan yang pernah saya lalui bersama Allahyarham, sifatnya yang pemurah suka membantu rakan-rakan ketika dalam kesusahan membuatkan kami selesa berkawan walaupun dia lebih senior daripada saya.

''Saya amat menghormati Allahyarham kerana dia mempunyai nilai-nilai yang ada sebagai seorang pemain bola sepak legenda,'' jelas Khalid.

Dalam pada itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Isa Abu Bakar selain meluahkan rasa sedihnya ke atas pemergian legenda bola sepak itu.

''Allahyarham tidak pernah sombong dengan sesiapapun yang mendampinginya, sifatnya yang suka berjenaka membuatkan semua orang pasti merinduinya,'' kata Dollah.

N. Baskaran, 58, yang merupakan bekas pemain tengah pasukan Pulau Pinang berkata, dia sudah mengenali Allahyarham hampir 40 tahun dan Isa adalah rakan sebilik setiap kali ada perlawanan luar.

"Dia seorang pejuang dan rakan yang tidak boleh dicari ganti. Kami sudah seperti adik-beradik, malah ke mana juga kami pergi dulu sentiasa bersama, kami turut bermain untuk kelab yang sama," katanya dengan linangan air mata ketika ditemui pemberita.

Bekas pemain tengah tersohor negara, Shukor Salleh, 62, pula memberitahu, walaupun dikatakan mempunyai masalah disiplin di luar padang, namun apabila di padang Allahyarham memberikan 100 peratus komitmen.

"Sebagai pemain, beliau seorang yang hebat, begitu juga sebagai seorang sahabat, macam tidak percaya dia yang kita kenal seorang yang sihat dan cergas sudah pergi meninggalkan kita semua," katanya.

Sementara itu, Datuk Soh Chin Aun ketika ditemui berkata, pemergian Isa merupakan satu kehilangan besar kepada bola sepak negara kerana Allahyarham merupakan seorang pemain yang sangat rajin dan peramah di luar padang.- UTUSAN ONLINE

***Sesungguhnya kita juga merasai kehilangan sebutir mutiara kebanggaan Pulau Pinang. Setiap yg datang akan pergi...kita yg masih hidup susuli pemergiannya dengan sekalung doa jua ALATIHAH>>>>

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

No comments:

Post a Comment

Menarik Di Komuniti Anak Penang.....